Halaman

Khamis, 5 September 2013

Perjuangan yang belum berakhir

Assalamualaikum anak-anak,

Alhamdulillah hari ini sempat untuk kita nikmati, udaranya masih segar dan suasananya masih damai.

Budak kecil yang berjiwa besar

Kali ini ummi mahu bercerita tentang kerjaya ummi pula.Tidaklah sebesar kerjaya doktor ataupun jurutera, ummi hanya seorang guru.Namun sepanjang ummi menjalani latihan sebagai guru, hidup terasa lebih tenteram dan damai.

Kenapa?
Suatu kepuasan apabila ummi dapat berkongsi ilmu dengan orang lain terutama sekali anak-anak kecil sebaya kakak Dhini.

Ummi bermula sebagai pelajar institut perguruan Bangi dan seterusnya ditempatkan untuk latihan di Sk Taman Seri Gombak.

Waktu cuti bukanlah masa untuk kita dapat bersama meluangkan masa mencari tempat percutian,tetapi pada masa itulah ummi akan datang ke ipg untuk menuntut ilmu perguruan.

Pensyarah-pensyarah yang ada disini semuanya berjiwa pendidik.Tidak hanya membiarkan pelajar2 mencari penyelesaian sendiri tetapi turut dibantu dan dibimbing dengan sepenuh jiwa.

Kelas pertama ummi pada cuti sekolah seminggu.Tidak sanggup untuk meninggalkan kakak dan adik di rumah, ummi berulang alik dari Gombak ke Bangi setiap hari.Kadang-kadang ada juga waktu ummi tersengguk sendiri kerana mengantuk.Namun ummi tahu ummi perlu kuatkan hati.

Sesi kelas diteruskan semasa cuti persekolahn 2 minggu.Ummi semakin membiasakan diri dan semakin cekap memandu.Satu perkara lagi, sepanjang tempoh pengajian ummi di ipg ummi mengalami kesukaran apabila major yang ummi dapat ialah bahasa arab.

Kenapa?
Ummi bukan major Bahasa Arab ketika di universiti tetapi Sains Kemanusiaan:Komunikasi.

Masalah juga buat ummi sebab bahasa Arab ketika sekolah menengah pun sudah berkarat inikan pula mahu mendalamai bahasa Arab diperingkat Ipg....sangat susah buat ummi.

Namun ingat sayang....
Kesusahan adalah pada fikiran kita, apabila kita mengambil keputusan yang sewajarnya bertindak mengikut pilihan yg telah kita buat bukan mencari alasan untuk tidak melaksanakannya.

Satu cabaran lagi yang perlu ummi hadapi ialah ketika terpaksa memandu setiap hari dari Gombak ke Bangi selama 1 bulan.
Cuba bayangkan.....
Paginya ummi akan keluar seawal 6.30 utk mengelakkan kesesakan lalu lintas.Dan pada petangnya pula ummi akan bergegas balik selepas kelas pada pukul 5.30 untuk mengharung kesesakan dan hanya akan sampai di rumah seawal 7.30 malam.Sangat tidak terbayangkan oleh akal pada awalnya namun ummi berjaya juga mengharunginya.

Penguat hati dan pemberi motivasi buat ummi


Habislah tempoh setahun ummi memasuki fasa praktikum.Tika ini hidup bagaikan tidak keruan,meja makan kita ummi tukar menjadi meja kerja ummi.Sebesar-besar meja itulah penuh dengan kertas yang bertimbun, fail2 kerja , laptop dan printer.Memang menjadi kenyataan selama 3 bln tersebut, kita makan beralas tikar namun rupanya lebih seronok.

Perjuangan ummi tidak berakhir disitu.Seusai praktikum ummi akan menghadapi peperiksaan akhir untuk menentukan masa depan ummi sebagai guru.

Ada waktunya ummi akan pergi bersendirian dan ada waktunya papa dan anak-anak setia menunggu sehingga ummi selesai menghabiskan ujian.
Terima kasih sayang-sayang ummi.Dan bila waktunya ummi menghadapi peperiksaan akhir bahasa Arab...sesuatu telah terjadi...

Ummi ceritakan kemudian ye....

Isnin, 2 September 2013

Merdeka di hati kita

Assalamualaikum wbt

Salam sayang buat anakanda -anakanda tercinta.....
Alhamdulillah setelah sekian lama melihat dan meneropong, akhirnya Allah swt memberi kekuatan buat ummi menulis dan melakarkan sesuatu.

Bukan kerana tidak ada masa namun rupanya untuk melakarkan sesuatu di sini sangat memerlukan kekuatan dan kehendak untuk melakukannya.Namun ummi terinspirasi dengan kata-kata Prof Muhaya yang sangat bermotivasi " Jika ingin melakukan sesuatu jangan sekali-kali kita bertangguh"

Walaupun tidak dalam keadaan yang seberapa sihat mungkin penangan "anak comel" yang masih membesar didalam perut, namun ummi rindu untuk melakarkan sesuatu di sini.

Untuk pengetahuan kakak dan adik Uwais , telahi genaplah negara kita menyambut kemerdekaan yang ke 56 tahun.Suatu jangka masa yang lama dan mungkin masih diidam-idamkan oleh banyak negara di dunia.Sebagaimana "excitednya" adik Uwais apabila melihat bendera Malaysia sehinggakan meronta-ronta seandainya bendera tersebut di ambil kakak, begitulah juga "excitednya" pejuang kemerdekaan dulu berjuang bagi mencapai kemerdekaan tanah melayu.

Bagi ummi kita seharusnya bersyukur dengan kurniaan ini walaupun kedengaran juga suara-suara yang mempersoalkan "benarkah kita telah merdeka?

Merdeka , subjektif maksudnya anak-anak.....
Ada ibu merdeka bila rumah telah terkemas cantik
Ada ayah merdeka bila dapat bercuti setelah berpenat lelah untuk keluarga
Ada abang merdeka bila adik-adik balik ke kampung...
Ada kakak merdeka bila tidak dibebel ibu.....
Ada adik merdeka bila kaka dan abang tidak menyakat.....
Dan banyak lagi......

Apapun maksudnya...
Berbeza pun pendapat kita.....
Apa yang penting, erti merdeka yang sebenar adalah apabila kita mampu mengawal emosi daripada dikuasai pelbagai pengaruh yang buruk dan negatif.....
Ingat anak-anak....
Kalian membesar bukan lagi di era serba kekurangan.Segalanya kini telah tersedia didepan mata dan menjadi suatu cabaran buat semua ibu bapa memberi pendidikan agama yang terbaik buat anak masing.

Ummi mendoakan kalian membesar dengan bertambah iman dan taqwa serta selalu menjadi muslim yang mengambil berat perihal agamanya dan cuba membantu insan lain.....

Ummi pun mahu memerdekakan diri dari sifat malas yang semakin menular dengan mula menulis sesuatu di sini....:-)

Sehingga bertemu lagi....










Sabtu, 28 Julai 2012

Ramadhan yang cepat berlalu

Assalamualaikum...
Salam sayang buat anak-anak ummi yang semakin ceria, tahniah buat kakak Dhini yang mahu belajar puasa walaupun masih tidak penuh...

Cepat je masa berlalu kan, kita dah sampai Ramadhan yang ke-9 , seakan baru je 1 Ramadhan bertandang.Mudah-mudahan iman kita akan bertambah juga amalan yang mesti luar biasa.

Seawal Ramadhan ni, ummi berkira-kira untuk membawa kakak dan adik berterawih bersama, alhamdulillah kita papa memilih untuk pergi ke masjid UIA kerana ruangan masjid yang lebih besar dan selesa untuk membawa ank-anak.Ternyata jangkaan ummi benar, ramai ibu-ibu yang membawa anak-anak bersam walaupun tidaklah menuanaikan solat terawih tetapi sekadar mengimarahkan masjid sempena Ramadhan yang mulia.Terasa sangat-sangat tenang lebih-lebih lagi apabila adik tidaklah meragam dan mengganggu jemaah yang lain.Tipsnya: Susu botol dia kenalah bawa dengan cukup.

InsyaAllah seandainya diizinkan , kita akan balik bercuti ke Sabah pada tahun ini, tak sabar rasanya untuk mendengar laungan takbir bergema di kampung halaman sendiri.Semoga Allah memudahkan urusan kita....

Rabu, 4 Januari 2012

Tadika baru di tahun baru...

Salam Sayang buat anak-anak permata hati.....

Alhamdulillah hari ni dah masuk hari ke 5 tahun 2012, semangat baru, motivasi baru dan perancangan baru demi kesejahteraan keluarga kita.Mudah-mudahan Allah mengizinkan semua perancangan akan berjalan dengan lancar.

Hari ni kakak Dhini dah masuk hari kedua melangkah kaki ke tempat tadika yang baru.Sebelum ni ummi hantar dekat Tadika Tahfiz Al-Furqan, Kg Padang Balang tapi disebabkan jadual yang padat, setiap kali pulang ke rumah pasti mengadu sangat penat.Ummi dan papa pun tidak sampai hati membebankan kakak Dhini yang masih kecil.Kami mengambil keputusan zaman kanak-kanak sebelum berusia 7 tahun ini adalah zaman permainan, insyaAllah sekiranya ada rezeki tahun satu nanti kita kakak Dhini boleh sambung belajar tahfiz.

Tadika baru ialah Pasti Ibnu Sina, dari pemerhatian ummi guru-guru serta suasana pembelajaran di persekitaran Pasti alhamdulillah sangat baik.Pagi ni, kakak Dhini sangat solehah, tidak perlu ummi temankan lama-lama, dia cepat menyesuaikan diri.

Sedar tak sedar, tahun depan kakak Dhini akan melangkah kaki ke tahun satu pula, entahlah bagaimana keadaannya nanti dan harapan ummi kakak Dhini akan cepat menyesuaikan diri juga

Sabtu, 31 Disember 2011

2011 in review

Salam sayang buat permata hati penyejuk mata, semoga sentiasa kita didalam rahmat Allah.....
Alhamdulillah 2011 telah melabuhkan tirainya, dan kita menyambut kedatangan 2012 dengan penuh kesyukuran kerana sampai saat ini kehidupan masih menjadi milik kita...

Ummi ingin sekali mengimbas kenangan kita pada tahun 2011, semoga yang baik akan kita jadikan pegangan dan yang buruk.....kita akan perbaiki

Februari

Ummi turn into 25 years old,tahun ni 26 tahun dalam masa 2 bulan lagi....


April

Papa pula 26 years old and turn into 27 this year, tahniah papa...yangg penting papa lagi tua dari ummi
Tahun ni juga ummi first bekerja diluar selama bersama papa....bayank juga la cabarannya, tapi alhamdulillah kerana pengalaman itulah yang membuat ummi tahu...manusia bermacam ragam......


Oktober

Hari graduasi ummi.Masa ni ummi tak lah rasa apa-apa, cuma alhamdulillah ummi berjaya melaluinya.Cuma hari ni papa yang sedih, mungkin mengenangkan hari-hari yang kita lalui semacam mustahil untuk mengakhiri perjuangan, tapi ummi berjaya......

November

Adik Uwais dah berusia 2 tahun, dah besar dah.Jadi anak yang soleh ye sayang.....
Tahun ni juga ulang tahun perkahwinan ummi dan papa yang ke 7.....7 tahun terasa bagai semalam je papa melafazkan nikah.Segala puji pada Allah swt.....

Disember

Kakak Dhini pula dah berusia 5 tahun.Semakin gebu dan berisi anak dara ni.Kakak pun akan berpindah tadika tahun ni...nanti kita coretkan kenagan-kenagan tu disini ye....

Selamat tinggal 2011....tahun 2012 ni telah tersedia perancangan yang ummi dan papa aturkan.Semoga semuanya akan berjalan lancar dan dapat dilaksanakan.

P/S untuk papa....ummi dah ada wishlist yang baru tahun ni, nanti bolehlah papa tengok dan amati ye he.......


Selasa, 15 November 2011

akanku lengkapkan 7 tahun yang berlalu...2

Tahun yang kedua...Tahun Tarbiyyah

Janji kita bersatu
Awal kehidupan kita sangat mencabar.Sebagai isteri , dan juga pelajar pada masa itu,banyak jerih kesabaran yang ditagih.Ditakdirkan pula kita duduk berasingan, semakin parahlah hati menanggung rindu pada sang kekasih.
Namun hikmahnya, rindu itu menguatkan kita.Melalui mehnah walau sepahit mana pun, bukan perpisahan yang yang menjadi jalan penyelesaian.Hiduplah sang kekasih itu, melalui hari-hari menjunjung perjuanagn demi menggenggam segulung ijazah.

Paginya...
Kelas kita bermula,berbekal kan wang bantuan yang kita terima.Duit inilah yang menjadi saraan kita untuk menghabiskan sem.Atas nama berdikari, ibubapa bukan sandaran.Jalan ini kita yang pilih, susah dan senangya pun kita yang harus lalui.

Petangnya..
Masih menghabiskan sisa kelas yang berbaki sehingga pukul 5 petang.Seusai itu, waktu maghrib menjengah dan waktu inilah kita menadah doa memohon segala kekuatan.Tamatnya waktu maghrib, kita akan makan bersama.Selalu ditempat yang sama, meja yang masih sama.kita duduk berbincang perihal hidup.Bagaimana untuk menambahkan pendapatan, dan bagaimana untuk menyara kehidupan menghabiskan sesi pembelajaran kita.
Hikmahnya....
Dalam kepahitan tidak berduit, kita belajar menghargai apa yang ada
Dalam derita menahan rindu hidup tidak sebumbung, kita belajar membilang waktu agar tidak ada yang terbazir walau sesaat.

Malamnya,
Sang kekasih itu berpisah lagi, walau hanya tembok yang menjadi penghalang,namun rindu tetap datang bertamu.....
Jerih perih yang kita lalui tidak terasa hingga saat berlalu, usia perkahwinan kita menjangkau setahun.

20 November 2005
Alhamdulillah , telah setahun berlalu.
Dalam ketiadaan duit pun, suami masih bertanya
" Ayang nak hadiah apa anniversary ni".Si isteri hanya tersenyum, " baiknya abang, tapi ayang tak perlu apa-apa, yang penting abang ada disisi pun sudah cukup"

Ahad, 13 November 2011

akanku lengkapkan 11 tahun yang berlalu

Tahun yang pertama....Tahun Permulaan

Hari yang berlalu seakan bermulanya kembali detik-detik waktu kita diijab kabul.Sehingga sampai waktunya, inginku ku coretkan kisahnya......

Debaran menanti...
Indah pagi itu, seindah mentari yang menyirna hati kita.Cuaca yang tidak panas, malah tidak pun hujan seakan tahu hari itu hari bahagia buat kita.Debar dalam penantian, aku gelisah.Pastinya hatimu juga merasakan yang sama.

Amanah itu bukan untuk dipersia...
Berat amanah yang harus kita gapai.Tidak semudah kita menyarung baju, menghias diri.Bukan juga semudah memilih makanan untuk santapan mengalas perut.Semuanya lebih berat dari itu.Amanah itu, menuntut aku mentaatimu selagi tidak menyalahi tuntutan Allah dan Rasul.Ah! bagi insan sedegil aku, pasti sukar. 
Amanah yang tergalas juga, mengharap engkau keluar mencari rezeki.Ehm....pasti berat bagi insan yang belum pernah bekerja seperti dirimu.   
Namun itulah amanah yang bukan tuntutan manusia tapi gagal menurutinya pasti kecundang di hari akhir nanti.Aku menerima seadanya, menyambut amanah ini penuh redha.Engkau juga pasti sama sepertiku, ingin supaya amanah Allah ini terjaga kemas lalu tidak ditelan zaman.

Kerana lafaz itu...
Hebatnya peraturan dan takdir Allah kan...yang menyatukan kita dan juga mungkin akan memisahkan kita.
Namun mengapa masih ada yang mempertikai kekuasaan itu.Agung dan hikmahnya ketentuan Allah, namun kenapa masih ada hati-hati yang ingkar dan tidak bersyukur.
Aqad yang bakal engkau sudahi nanti, menghalalkan semua yang haram.Mendekatkan hati yang jauh menjadi satu.
Sudahnya, tidak ku harapkan naungan emas dan permata.Tapi cukup hanya namaku yang menjadi pemilik lafaz keramat yang meniti dibibirmu.

20 November 2004
Kerana 1 lafaz itu aku menjadi milikmu.....


"........aku terima nikahnya.....dengan mas kahwin seratus ringgit tunai......"



akan jauh perjalanan kita...
akan beronak kenangan kita..
namun
buat insan yang ku gelar suami

terimalah aku seadanya
menjadi suri hidup,teman sunyimu
terimalah aku seadanya
pelengkap imanmu, memperbaiki akhiratmu

terimalah aku seadanya
agar nanti, perjuangan tidak sendiri
jalan yang berliku mampan kita lalui



















Ahad, 8 Mei 2011

"Chicken Pox"

Assalamualaikum.....
Sayang anak-anak ummi dan papa......
Serta pembaca sekalian yang tidak pernah jemu bertandang.......

Lama kan menyepi......bukanlah terus menerus membisu tapi banyak tanggunjawab baru ummi yang kini memerlukan perhatian.....
Anak-anak ummi alhamdulillah namun ujian sakit masih silih berganti....sebelum adik Uwais , kakak Dhini terkena "chicken pox"dan kini adik Uwais pula....sebab ummi dan papa dah kena masa kecil-kecil dulum insyaAllah imun badan kami akan lebih kuat, tapi itu hanya kenyataan saintifik, kalau Allah nak bagi terkena juga jawabnya.....

Sedikit info tentang "chicken pox"@ cacar air.Mengikut kajian orang dewasa yang menghidap penyakit ini berisiko lebih tinggi untukmendapat jangkitan yang serius berbanding kanak-kanak, dan bila ummi bawa adik Uwais berjumpa doktor, imun untuk seseorang yang pernah dijangkiti penyakit ini ialah selama 15 tahun.....Semoga Allah melindungi kita semua daripada jangkitan penyakit ini.

Cacar Air


Apa itu jangkitan cacar air?

Ini ialah jangkitan biasa yang berlaku dikalangan kanak-kanak yang disebabkan oleh virus. Virus cacar air juga dikenali sebagai virus varicella. Ia adalah virus sama yang menyebabkan kayap. Ia merupakan penyakit yang senang berjangkit dan boleh merebak dari seorang ke seorang. Seseorang yang dijangkiti virus ini akan mengalami demam dan timbul ruam lepuh (blisters). Ianya merebak:

  • Melalui udara bila seseorang yang menghidap cacar air itu mengalami batuk atau bersin.
  • Dengan menyentuh cecair yang keluar dari lepuh (blister) cacar air.
  • Dengan menyentuh benda/permukaan yang dibasahi oleh cecair daripada lepuh tersebut.

Apakah tanda-tanda dan gejala?
Anak anda akan mendapat cacar air 13–17 hari selepas terdedah kepada seseorang yang mengidap cacar

Measles air. Cacar air boleh merebak 1–2 hari sebelum ruam kelihatan sehingga semua ruam berkeruping dan kering. Kebanyakan kanak-kanak mengalami jangkitan yang tidak serius. Namun jangkitan cacar air bagi orang dewasa boleh menjadi lebih serius.

Gejala-gejala :

  • Demam,rasa tidak sihat dan letih lima hari sebelum ruam timbul.
  • Ruam bermula bintik merah yang kecil dan gatal (seperti jerawat) pada semua badan termasuk mulut. Biasanya ruam bermula di dada dan belakang, kemudian merebak ke muka,kepala,kedua-dua lengan dan kaki.
  • Dalam masa 24 jam, ruam-ruam akan kelihatan seperti lepuh air (blister), kemudian pecah,kering dan menjadi keruping (4 -5 hari)
  • Bintik-bintik baru akan terus timbul untuk lima hari dan mengambil masa dua minggu untuk hilang.


Cacar air
Biasanya jangkitan cacar air ini menghasilkan pelalian seumur hidup. Walaubagaimanapun, virus ini mungkin bersembunyi dan berulang sebagai kayap (shingles) kepada orang dewasa dan kadang-kadang kepada kanak-kanak.

Apakah komplikasinya?
Biasanya cacar air ialah masalah kesihatan ringan bagi kanak-kanak dan kebanyakannya akan pulih. Walau bagaimanapun, sesetengah orang berisiko mendapat komplikasi yang teruk, iaitu bayi yang baru lahir, orang dewasa dan seseorang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.

Komplikasi lain yang boleh berlaku termasuk:

  • Jangkitan kuman pada kulit
  • Jangkitan pada darah
  • Radang paru-paru
  • Keradangan otak

Bagaimana jangkitan cacar air dirawat?
Amnya:

  • Elakkan anak anda ke sekolah atau taman asuhan kanak-kanak sehingga ruam menjadi berkerak (lebih kurang tujuh hari daripada permulaan ruam). Jika tidak kemungkinan kawan-kawanya akan turut dijangkiti.
  • Ambil ubat paracetamol untuk mengurangkan demam.
  • Minum banyak air masak.
  • Ambil makanan yang seimbang.
  • Sentiasa membasuh tangan.

Untuk rasa gatal:

  • Sapu losen kalamine di tempat ruam.
  • Mandi dengan kerap dan sabun dengan menggunakan campuran baking soda dengan air suam beberapa kali sehari untuk mengurangkan rasa gatal.
  • Potong kuku pendek untuk mengelakan kecederaan kulit semasa menggaru.
  • Ubat antihistamine mungkin diberi oleh doktor jika rasa gatal yang teramat sangat sehingga anak anda tidak dapat tidur.

Ubat antivirus untuk cacar air boleh didapati dan selalunya akan diberi oleh doctor kepada mereka yang berisiko mendapat jangkitan yang teruk, iaitu:

Berumur 12 tahun ke atas.

  • Mengidap penyakit paru-paru yang kronik.
  • Mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.
  • Bayi yang baru lahir.

Bagaimana cacar air boleh dicegah?

  • Cacar air boleh dicegah dengan suntikan pelalian. Minta nasihat doktor.
  • Jika anda mendapat cacar air, elakkan jangkitan kepada orang lain dengan tidak pergi ke sekolah atau ke tempat kerja sehingga lepuh menjadi kering dan berkerak.
  • Seseorang yang berisiko mendapat cacar air yang teruk (bayi yang baru lahir, yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, wanita mengandung) yang terdedah kepada seseorang yang mengidap cacar air, mungkin diberi antibodi dalam bentuk immunoglobulin untuk memberi perlindungan segera.
P/S: Doakan adik Uwais cepat sembuh ye.......

Selasa, 15 Mac 2011

A bundle of joy


Nak ke mana tu? ke sekolah ke

" Hari ini bermula lagi, memori dan kenangan baru...."

Assalamualaikum.....

Masa berlalu begitu pantas, sedar tak sedar banyak dah yang kita lalui.Anak-anak ummi yang semakin membesar, dan usia perkahwinan ummi dan papa yang masuk tahun ke-tujuh.Alhamdulillah, tidak terhingga syukur ummi pada Allah swt,semoga saat-saat indah yang kita lalui akan sentiasa dalam ingatan.

16.03.2011

Ahmad Uwais dah masuk 1 tahun 4 bulan.besar dah anak teruna ummi ni.Sangat bahagia bila melihat dia berjalan semakin pantas tapi masih belum berlari.Suka sangat menyakat kakak tapi akhirnya dia juga yang menangis.

Syauqina Ardhini pula semakin besar dan "chubby".Suka sangat cubit pipi yang gebu tu.
Mudah-mudahan anak-anak ummi dan papa sentiasa ceria dan menjadi anak yang soleh solehah.

Ummi masih dalam "mood" menghabiskan masa di rumah dengan anak-anak memandangkan hari jumaat ni ummi akan mula bertugas.Untuk pertama kalinya bergelar ibu yang bekerja....ummi selalu fikir ingin saja menghabiskan waktu dengan anak-anak dirumah dan malas untuk bekerja,tapi demi untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak ummi kenalah berkorban kan.....insyaALLAH bila sampai masanya Allah memberikan kita kehidupan yang baik dengan ekonomi yang stabil,pasti ummi tidak perlu bekerja lagi.

Ummi keje kat mana?bila dah dapat offer letter nanti ummi cerita ye.

Seharian bersama anak-anak sangat menghiburkan walaupun kadang-kadang menduga kesabaran ummi...ye la anak-anak tengah membesar,macam-macam lah karenah dan fiilnya.....
Tapi anak-anak ummi anak yang soleh kan....biasalah tu menghambur mainan dan ruang tamu..hehe

Isnin, 14 Februari 2011

Bila anak-anak sakit.....

Assalamualaikum.....

Lamanya lah ummi berdiam diri kan...bukan tak ada cerita untuk anak-anak ummi tapi kesibukan menghadiri temuduga ummi tangguhkan dulu ceirta-cerita menarik.....menarik ke?tak la sangat hanya untuk rujukan dan memori buat anak-anak ummi yang sentiasa ummi sayang...

Baru ni adik Uwais sakit kuat,tak nak makan,minum susu....risaunya ummi dan papa.Dekat seminggu jugak lah...bila pergi jumpa doktor,doktor cakap masalah susu tak sesuai....

Bila memikirkan kembali...alahai,sangat-sangat menyesal bila tak dapat menyusukan adik Uwais atas tuntutan belajar dan ilmu yang cetek.Buat ibu-ibu yang masih menyusukan bayi kalian,penuhilah tuntutannya sehingga cukup 2 tahun kerana itulah yang terbaik untuk anak-anak.Ummi berazam untuk anak-anak yang seterusnya.....mesti cukup 2 tahun dan kalau lebih pun tak apa.

Berbalik pada cerita adik Uwais....macam-macam ummi dan papa cuba, sehingga sampai satu tahap.....ummi terpaksa bagi makan melalui syringe.....Ya Allah ,takutnya Allah je yang tahu....setiap saat memikirkan adik Uwais.Dahlah tak nak makan dan minum ditambah pulak,cirit-birit yang teruk...sampaikan doktor terpaksa refer kan kepada pakar di hospital Selayang....

Tapi ummi dan papa mengambil inisiatif lain, daripada melihat Uwais yang sakit dicucuk jarum dan disambung air,majikan papa memberi cadangan untuk memberi Uwais makan madu manuka.....

Maka kami pun mencuba.....
Dan hasilnya sangat memberangsangkan....sehari selepas kami memberi makan madu tersebut,adik Uwais mula menampakkan tanda-tanda untuk pulih....
Dia mula makan dan berhenti cirit.....
Alhamdulillah atas izin Allah.........
Moga adik Uwais tak sakit lagi tau dan selalu sihat dan ceria.......
----------------------------------------------------------------------------------

Sekarang ni dalam proses untuk berpindah ke rumah baru....insyaAllah lebih selesa dan senang untuk anak-anak ummi bermain.Mudah-mudahan perpindahan ini membawa cerita yang baru dan manis-manis belaka....

Semoga anak-anak ummi pun membesar dengan lebih baik menjadi anak yang soleh solehah...

p/sekarang ni bila tengok baby, ummi rasa macam nak baby lagi...alahai....tanda-tanda ke..hehe
Papa cakap tunggulah adik UwAIS besar dulu he.....kakak Dhini pula dah siap nak adik gegurl.....

sehingga ketemu lagi...................

Isnin, 31 Januari 2011

Maher Zain - Insha Allah (Malay Version)

s

Ya Allah tunjukkan lah yang terbaik.....
Berikanlah yang terbaik dalam hidup kami.....+

Isnin, 3 Januari 2011

Tahun baru dan hadiah yang pertama...

Kakak Dhini dan hadiahnya

Sesi bergambar beramai-ramai,tempat pertama dan kedua diungguli kanak-kanak lelaki

Senyumlah sikit,senyum tu kan sedekah :-)



Cantiklah kakak Dhini warna,semoga menjadi Mukmin Junior juga

Tengah kusyuk mewarna,dah tak tengok orang lain


Macam ni la yang ummi suka....semoga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.......




Assalamualaikum.....

Salam sayang buat permata hati ummi ,semoga sihat dan ceria selalu..

Alhamdulillah tahun 2010 telah pun melabuhkan tirainya.Masa berlalu begitu cepat dan tidak sedar anak-anak ummi dah meningkat usia.Kakak Dhini dah masuk tahun yang kelima dan semakin lincah.Adik Uwais pula masuk tahun kedua dan masih sedang belajar untuk berjalan lurus.

Sungguh perkembangan anak-anak membuat ummi gembira dan juga sedikit risau.Bagaimana untuk mencorakkan insan-insan kecil ini untuk menjadi khalifah yang berkualiti.Bimbang didikan yang tidak sempurna akan mencacatkan minda dan aqidah anak-anak.Dan sungguh ummi dan papa berharap memohon pada Allah swt ,semoga tahun 2011 akan menjanjikan rezeki dan kehidupan yang lebih baik buat kita semua.

Tahun baru hari tu ummi dan kakak Dhini berpeluang menghadiri majlis anjuran Nisa' Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.Talk show yang diadakan sangat menyentuh hati dan memberi semangat baru buat ummi untuk memperbaiki diri.Dalam majlis tu pertandingan mewarna pun diadakan dan kakak Dhini berpeluang untu turut serta.Alhamdulillah dapatlah tempat ketiga.Umii pun tak sangka-sangka.Apalagi gembiranya memang tak terkata,bila waktu nak balik ke rumah tak sabar-sabar untuk tunjuk kat papa.
Dan inilah hadiah pertama Dhini,pasti menjadi kenangan yang indah untuk dikenang.













Khamis, 30 Disember 2010

2010 in review.....


Assalamualaikum......
Salam sayang buat anakanda tercinta juga terima kasih pembaca yang setia mengikuti perkembangan blog ni....walaupun jarang ber"update"...Buat anak-anak ummi dan terutamanya buat papa...terima kasih atas sokongan kalian di waktu kejatuhan dan kekecewaan ummi..sungguh telah tertulis kan putaran hidup manusia ni sentiasa berubah.Seketika kita di atas dan seketika kita berada jauh di bawah...

Alhamdulillah tirai 2010 bakal berakhir dan insyaAllah mudah-mudahan Allah memanjangkan usia kita untuk menikmati dan menghayati tahun 2011 bersama kejayaan dan kebahagiaan.Tempoh masa setahun yang bakal berlalu memang telah banyak mengajar ummi erti kehidupan ,mematangkan dan semoga akan terus mengajar diri ummi dan kita semua.

Semoga kita mulakan tahun baru ini dengan penuh keinsafan menyesal atas segala dosa yang telah kita lakukan dan berazam untuk menjadi yang terbaik....

Ahad, 14 November 2010

Sehabis perjuangan Ummi

Assalamualaikum.....salam sayang buat anak-anak ummi yang sangat ummi cintai...tidak lupa juga buat papa yang tidak jemu bersama ummi.....


Alhamdulillah akhirnya hari ini hari akhir perjuangan ummi menuntut ilmu buat waktu ini....hari terakhir exam di UIA.....perasaan ummi bercampur baur-gembira,sedih juga terharu-kenapa??

Sebab getirnya menghabiskan saat ini membuat kan ummi terkenang kembali segala kenangan pahit manis menuntut ilmu bersama papa....ummi tidak terkata hanya mengucapkan kalimah syukur,akhirnya jalan ummi sampai di sini.....


Buat anak-anak ummi yang sentiasa ummi sayang....

Perjuangan menuntut ilmu sampai ke akhir hayat,suatu masa nanti insyaAllah kalian akan menjejakkan kaki ke sekolah,ke menara gading dan akhirnya memiliki pekerjaan sendiri...apapun pilihan kalian ingatlah wahai anakku perjuangan menuntut ilmu tidak pernah berakhir sehinggalah kita menutup mata....
Mengimbas kembali perjuangan ummi.....

2004
Ummi dan papa baru melangsungkan perkahwinan....meneruskan perjuangan di matrik UIA

2006
Ummi dan papa melangkahkan kaki ke kampus Gombak....perjuangan diteruskan lagi
Ummi melahirkan kakak Dhini...ambil keputusan untuk menangguhkan pengajian sementara

2008
Tahun kedua ummi di Uia,banyak nya cabaran sebagai ibu,isteri dan pelajar

2009
Tahun ketiga yang sangat menuntut kesabaran.....
Ummi mengandungkan adik Uwais...dan melahirkan pada hujung tahun
Terpaksa resit exam sebab tertinggal exam

2010
Tahun keempat pengajian ummi...alhamdulillah sampai juga saat ini

15.11.2010
Ummi unofficially graduated from UIA.....ALHAMDULILLAH,syukur pada nikmatmu YA Allah

InsyaAllah selepas ini ummi berniat untuk mneyambung pengajian lagi....@mungkin bekerja dahulu...manapun pilihan ummi papa sentiasa menyokong dan memberi pendapat...apa yg terbaik bagi ummi...
Doakan ummi ya......

p/s
17.11.2010 - hari lahir adik Uwais yg pertama...selamat hari lahir adik,jadi anak soleh ye...
20.11.2010 - anniversary ummi dan papa yg ke6....terima kasih abang atas pengorbanan dan kasih sayang abang...





Isnin, 8 November 2010

Gelagat Uwais...

inilah gelagat Uwais tido...semakin besar semakin banyak gaya tidur yg tidak disangka-sangkanyenyak benar nampaknya...tidak sanggup ummi hendak kejutkan tapi memikirkan bahaya jugak Uwais kat ctu...



Lama dah ummi terfikir nak titipkan kisah Uwais tido ni....lucu dan tergelak ummi dan papa bila mengingatkan.Macam-macam gaya Uwais ni....beberapa hari lagi usia Uwais mencecah 1 tahun,dia dah boleh buat banyak benda dan suka sangat meng'explore' benda baru...

Isnin, 11 Oktober 2010

Jalan-jalan....




Alamanda, Putrajaya


Assalamualaikum.....anak-anak ummi

Maaflah sebab lamanya ummi tidak mengupdate cerita kalian sebagai kenang-kenangan...Ummi berkejar-kejar untuk menghabiskan
sisa-sisa semester yang terakhir buat ummi.Ummi ingin melakukan yang terbaik untuk kalian dan masa depan kita...doakan ummi ye....

Dikesempatan ni ummi ingin mengabadikan kenangn majlis konvo papa yang sebenarnya dah seminggu berlalu...mengenangkan kembali detik-detik perjuangan di medan ilmu membuatkan ummi sangat-sangat terharu...akhirnya kejayaan juga milik ummi dan papa.Ummi juga mendoakan semoga semangat membara untuk terus berjuang menuntut ilmu juga diwarisi oleh kalian....kerana hanya dengan ilmu yang dapat membuat hidup kita lebih bermakna.Sempena majlis konvo papa,nenek kedua-dua belah ummi dan papa pun berkesempatan datang.Banyak masa kita habiskan berjalan-jalan menikmati keindahan alam.Syukurlah Allah memberi kita kesempatan dan ruang.


Kita berpeluang bermandi-manda di Wetworld

InsyaAllah bila berpeluang ummi update pulak perkembangan kalian ye.....Uwais nak masuk setahun dah....Dhini pulak nak masuk 4 tahun....3 minggu lagi adalah kelas-kelas ummi yang terakhir......Semoga Allah memberi kesempatan di lain waktu.....












Rabu, 1 September 2010

Ramadhan 1,4 & 6

aSSALAMualaikum....

Sekian lama tidak meng"update" blog ni,ummi ke udara lagi.Salam Ramadhan buat semua dan semoga hari-hari terakhir Ramadhan ni kita manfaatkan sebaiknya....Untuk beribadah,menyediakan hidangan yg terbaik untuk keluarga disamping berdoa untuk kesejahteraan keluarga yang tersayang.

Kenapa Ramadhan yg 1,4 & 6?

Ramadhan yg 1 bersama mujahid tercinta Ahmad Uwais Al-Qarni.Sekarang ni adik Uwais dah 9 bulan.Banyak lah benda baru yg dia dah boleh buat.Suka sgt bila tgk dia membesar sihat...insyaAllah ada kesempatan nnt akn ceritakan lebih lanjut perkembangan adik Uwais ni.










Inilah ragam-ragam Uwais...tgh demam pun boleh lagi tunjuk aksi...



Ramadhan yg ke-4

Inilah Ramadhan yg ke-4 dgn kakak Dhini pulak.....alhamdulillah Dhini dah membesar dgn baik dan bijak.Cepat saja belajar dan selalu ingin belajar.Suatu perkembangan yang baik yang semestinya diinginkan oleh semua ibubapa.



Kakak Dhini dgn macam-macam ragam.....tidak boleh jelir lidah la Ardhini...dosa tau...









Alhamdulillah...ini Ramadhan yg ke -6 bersama abang.....Terima kasih ye atas pengorbanan abang selama ini untuk kita semua...semoga Ramadhan dan hari raya kali ni lebih bermakna....Tahun ni tema baju raya kita warna hijau...Ummi sukalah tengok Dhini "excited" hendak mencuba baju raya yang baru....Adik Uwais pula bila dah pakai baju melayu warna hijau comel sangat.....tidak sabar menunggu raya nanti....

Semoga sisa-sisa Ramadhan ni Allah berikan segala kekuatan untuk kita semua...amin....

Selasa, 22 Jun 2010

Masa yang Berharga...



Assalamualaikum....


Alhamdulillah cuti ummi bermula lagi selepasa melalui semester pendek yang tidaklah memenatkan sangat.Bila cuti bermula dapatlah ummi meluangkan lebih masa untuk anak-anak yang semakin membesar.Selalunya ummi memang lebih senang menjaga kalian di rumah daripada menghantar kepada pengasuh,demi untuk menebus baki-baki waktu yang tidak ummi habiskan untuk kalian.




Ummi pun berkita-kira meletak pelbagai perancangan semasa cuti ni,memandangkan papa tidak bercuti sekali dengan kita nampaknya kita kena mengatur program mengikut jadual papa seadanya.Mudah-mudah Allah izinkan kita melaksanakannya.






"Kewajiban kita adalah lebih banyak dari masa yang kita ada,bantulah saudaramu tentang bagaimana untuk menggunakan masa dengan berfaedah,dan jika saudara mempunyai tugas sendiri,maka ringkaskanlah perlaksanaannya"{Wasiat akhir Imam Hasan al-Banna}



Mudah-mudahan waktu yang berlalu kita gunakan sebaiknya agar nanti bila ditanya..."waktu yang aku ada aku telah gunakam untuk berbakti padaMu Ya Allah"InsyaAllah

Ahad, 20 Jun 2010

Sampai Syurga....

" Cuba abang tengok tu?"
"Abang teka tu suami isteri ke atau "couple"?saya menyoal suami ketika kami kuar makan-makan suatu hari
"Ehm....suami isteri kot....."suami saya cuba meneka.
"Taklah,ayang rasa tu macam "couple"saya memberi pendapat.
"Kenapa pulak?suami kembali bertanya.
"Sebab diorang "talk a lot".....saya membuat kesimpulan.
Hehe,pandai-pandai je kan saya mencari kesimpulan.Bukan umtuk melabelkan yang bila dah jadi suami isteri,berbual pun kurang.Tapi itula hakikatnya yang selalu kita nampak.Sampaikan pernah saya terbaca satu artikel,tidak pasti tulisan siapa tapi yang membuat kesimpulan betapa senangnya untuk kita menilai sama ada pasangan yang berjalan bersama itu suami-isteri atau pun tidak....tengok diorang banyak bercakap ke tidak.
Saya cuma ingin memperbaiki diri,mudah-mudahan sedikit tulisan yang maafkan kalau merapu ini dapat mendidik dan mengingatkan saya....betapa pentingnya komunikasi rumah tangga.Setelah hampir 6 tahun berumah tangga..dan anak pun dah dua orang....memang mustahillah kalau lidah tidak tergigit ,hati tidak terguris.Namun saya selalu berdoa Allah swt mengingatkan saya...bahagia itu pilihan kita.
"Kalau pilih untuk bahagia,jangan bertindak untuk menjadi derita"
Sedih sebenarnya bila melihat statistik penceraian yang semakin meningkat.Lamanya menjalin percintaan betapa mudah merobohkannya selepas ikatan sah terbina.
Selalu saya perhatikan,masa bercinta berpegang tangan....bila dah kawen isteri tinggal di belakang.
Masa bercinta setiap saat diingati,bila dah kawen setiap detik ingin melupai....
(Ya Allah jauhkan la kami dari jalan yang menuju kehancuran....dekatkan lah kami padamu agar cinta yang tersemai keranaMu berkekalan hingga ke Syurga...amin)

Buat suami tercinta...

Terima kasih atas kasih sayangmu yang sentiasa mengingatkan diriku...untuk berbakti kepadamu kerna Allah...

Moga semalam,hari ini dan esok tetap menjadi detik kita bersama